Projek Perkhidmatan Feri Pengkalan Kubor, Kelantan, Malaysia/Takbai, Narathiwat, Thailand Dan Rumah Api Serta Tanda Arah Suar.


Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand adalah merupakan semangat kesetiakawanan kedua-dua negara jiran ini yang terjalin rapat sejak lama dahulu. Penduduk yang bersempadan ini pula mempunyai tali persaudaraan yang amat rapat. Kerjasama kedua-dua negara ini sungguh membanggakan dan mendapat sanjungan dari negara-negara lain di rantau ini. Malah ada yang mengatakan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Thailand adalah yang terbaik didunia.

                               Sri Tanjong sedang berlabuh pada tahun 1990

Projek perkhidmatan Feri Pengkalan Kubor,Malaysia/Takbai, Thailand dan pembinaan Rumah Api serta Tanda Arah Suar yang diadakan adalah satu bukti yang nyata tentang hasrat kedua-dua negara ini untuk memperkukuhkan semangat kerjasama dan kejiranan yang sungguh bermakna. Hasrat ini terlaksana  apabila kedua-dua negara ini telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan satu perkhidmatan feri diantara Pengkalan Kubor, Kelantan dan Takbai, Thailand.


                                     Jeti Feri Pengkalan Kubor tahun1990

Lanjutan kepada keputusan ini, sebuah Jawatan kuasa yang diberi nama “ The Joint Malaysia – Thailand Socio-Economic Development Committee “ (CEDEC)  telah ditubuhkan dan diarah untuk memulakan perbincangan ke arah itu. Pada 11hb. Disember, 1982, didalam mesyuarat pertamanya, Jawatan Kuasa ini telah bersetuju agar Malaysia dan Thailand mempunyai feri sendiri dengan spesifikasi yang sama.

                               Jeti Feri Pengkalan Kubor sekarang



Tujuan diadakan perkhidmatan feri ini ialah untuk :

1. Meningkatkan kerjasama pembangunan sosio-ekonomi di antara kawasan sempadan Malaysia dan Thailand;

2. Mencegah penyeludupan;

3.  Mengeratkan hubungan penduduk di kedua-dua negara; dan

4.Memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk-penduduk sempadan Malaysia - Thailand.


Sebelum perkhidmatan  feri di antara Pengkalan Kubor, Kelantan dan Takbai, Thailand dapat dimulakan, satu Memorendum Persefahaman perlu ditandatangani. Perkara ini adalah  merupakan amalan biasa apabila ianya melibatkan kepentingan dua negara. Memorendum Persefahaman ini adalah satu keperluan dilihat dari segi hubungan diplomatik sebelum kedua-kedua feri dapat beroperasi dan memulakan perkhidmatannya.

                                      Kompleks Imigresen Pengkalan Kubor

Bagi mencapai hasrat tersebut , Memorendum Persefahaman berkenaan telah ditandatangani oleh kedua-dua Pengerusi Bersama Jawatan Kuasa, Pembangunan sosio Ekonomi (SEDEC) bagi pihak negara masing-masing pada 26hb. Julai,1990 di satu upacara bersejarah di Hatyai, Thailand.

                                 Papan tanda Kompleks Imigresen sekarang

Memorendum Persefahaman ini antara lain telah menetapkan waktu feri beroperasi iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 6 petang (waktu Malaysia) atau jam 5.00 pagi hingga 5.00 petang (waktu Thailand). Feri akan beroperasi dan berlepas daripada pengkalan tiap-tiap setengah jam. Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan selaku pelaksana mengenai feri telah diberi tanggung jawab untuk mengendalikan segala aspek operasi mengenai perkhidmatan feri kepunyaan Malaysia. Feri Malaysia diberi nama ‘Sri Tanjong’ manakala feri Thailand diberi nama ‘Taba I’.

                                        Rumah Api di Takbai, Thailand
Manakala projek rumah api telah dipersetujui dilaksanakan secara usaha sama diantara Malaysia dan Thailand pada tahun 1982. Pembinaan rumah api ini adalah bertujuan untuk membantu pelaut-pelaut (sea farers) menentukan sempadan laut antara kedua buah negara. Pada dasarnya, rumah api ini telah dipersetujui bersama sebagai tanda sempadan (boundary mark) diantara Malaysia dan Thailand. Kerja-kerja ukur bersama telah dijalankan di muara sungai Golok pada 3hb. Jun, 1982 hingga 28hb. Jun, 1982 bagi menentukan kedudukan titik sempadan (boundary point) yang terletak di “ latitude 6○  14.5’ N “ dan longtitude 102 05.6’ E”, iaitu berdasarkan kepada perjanjian diantara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand pada 24hb. Oktober, 1979.        
                                            Tanda Arah Suar di perairan Malaysia

Kesimpulannya Projek Perkhidmatan Feri Pengkalan Kubor, Malaysia/Takbai, Thailand dan Rumah api serta Tanda Arah Suar ini akan memberi faedah dari segi hubungan diplomatik negara Malaysia dan Thailand serta akan menjadi jambatan perhubungan kepada rakyat kedua-dua negara disamping faedah-faedah lain dari segi keselamatan perairan dan sosio-ekonomi. 

                                                Tengku Ahmad Rithauddeen
                                    Menteri Pertahanan Malaysia tahun 1990


Perkhidmatan Feri Pengkalan Kubor, Malaysia/ Takbai,Thailand dan Rumah Api serta Tanda Arah Suar dirasmikan bersama dengan Kompleks Imigresen oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Ahmad Ritahudddeen Al-Haj bin Tengku Ismail yang juga sebagai Menteri Pertahanan Malaysia pada 16hb. Ogos, 1990 bersamaan dengan 25hb. Muharam, 1411.