Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor Kelantan.




Kawasan Bebas Cukai pengkalan Kubor adalah diwujudkan di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967. Pemegang lesennya ialah Majlis Daerah Tumpat iaitu mulai 10hb Oktober, 1989.

Kawasan Bebas Cukai ini terletak dalam satu kawasan berpagar yang meliputi Lot no. 752 – 759, 761- 784, kawasan kedai, kawasan kawasan lain di dalamnya, mukim Pengkalan Kubor, jajahan Tumpat, Kelantan, meliputi kawasan seluas lebih kurang 25,175 meter persegi.

Jarak perjalanan daripada bandar Kota Bharu adalah sejauh kira-kira 25 kilometer dan lebih kurang 10 kilometer dari bandar Tumpat. Ia bersempadan dengan Thailand, iaitu pekan Takbai,Narathiwat.Daripada pekan Takbai,jaraknya adalah lebih kurang 2 kilometer dengan jalan pengangkutan air seperti Feri dan bot.

Kawasan Bebas cukai ini adalah dilingkungi oleh dua lapisan pagar keselamatan yang dibina khas. Bagaimanapun oleh kerana kawasan asal yang dirancangkan adalah kecil sahaja, maka jarak antara dua lapisan pagar ini telah dipersetujui 5 kaki sahaja. Jarak ini terus dipakai walaupun kemudiannya kawasan ini telah diluaskan untuk meliputi kawasan sekarang
.
Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor adalah istimewa dan berlainan dari yang terdapat di tempat lain. Di dalamnya, selain dari bangunan bangunan kedai, terdapat juga rumah rumah kediaman. Ianya dilengkapkan dengan pondok pondok kawalan, pintu pintu serta laluan keluar masuk.

Tujuan

Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor ditubuhkan adalah bertujuan untuk menarik pelancong, terutamanya dari Negara yang terdekat iaitu Thailand dan pelancong-pelancong asing yang keluar masuk melalui Kompleks Imigresen. Ia juga menjadi tarikan pelancong-pelancong dari negeri-negeri lain di Malaysia sendiri. Ia juga bertujuan untuk menambahkan lagi ekonomi penduduk tempatan serta memberi kesan kepada pertumbuhan pembangunan di Pengkalan Kubor.

Waktu urusniaga

Waktu urusniaga kawasan Bebas Cukai ialah dari jam 08.00 pagi hingga 05.45 petang setiap hari termasuk hari minggu bagi negeri Kelantan(Jumaat & Sabtu). Semua peniaga dikehendaki mematuhi waktu ini terutama waktu tamat berniaga di akhir hari bagi menjamin pembeli tiba di kaunter pemeriksaan kastam sebelum pukul 06.00 petang, ini adalah kerana waktu membayar cukai sehingga pukul 06.00 petang sahaja.


Pergerakan Barang-barang ke Kawasan Bebas Cukai.

Kawasan Bebas Cukai adalah dianggap satu kawasan di luar kawasan utama kastam ( Principle Customs Area ) (PCA). Barang barang yang dibawa masuk ke kawasan ini adalah bebas dari sebarang cukai. Peraturan yang sama adalah terpakai bagi mengawal pergerakan barang barang bercukai yang dipindah dari pelabuhan kastam, gudang kastam / gudang berlesen atau dari kilang kilang eksais dan sebagainya ke Kawasan Bebas Cukai.

Pemindahan barang barang melalui Kawasan utama Kastam perlu di buat melalui borang : (Borang Kastam 8 untuk barang barang dibawah kawalan kastam dan Borang Eksais 8 untuk barang barang di bawah kawalan eksais).




Dagangan yang dibenarkan dibawah Seksyen 65, Akta Kastam 1967.

Semua jenis barang kecuali :
- Petroleum
- Kereta
- Tayar dan alat ganti
- Minuman keras dan rokok (dijual dibawah lesen yang berasingan)
- Bahan mentah untuk tujuan pengilangan.

Percukaian


Cukai dikenakan keatas pembeli mengikut kadar yang telah ditetapkan.Bagi barangan kegunaan sendiri (bukan dagangan komersil) cukai dikenakan mengikut dua jenis cukai iaitu cukai kadar biasa yang dikenakan sepertimana barangan yang dibawa keluar ke Kawasan Utama Kastam dan Cukai Istimewa KBC,iaitu cukai dibawah perintah Duti Kastam (Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor) 1989. Cukai Istimewa KBC menjadi tarikan pelancung dan pembeli kerana ia lebih murah iaitu sebanyak 10% sahaja bagi barangan kegunaan sendiri (bukan dagangan komersil).


Bagi pembeli yang membeli barang-barang untuk tujuan perniagaan (untuk dagangan komersil) cukai dikenakan mengikut kadar sebagaimana pintu Utama Kastam diseluruh Negara.

Sumber : 
Akta Kastam 1967
Perintah Duti Kastam (Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor)1989
Syarat-syarat Gudang Berlesen/Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.